Rabu, 27 Jun 2012

PENGANTIN EKSPRES (5)


Perkahwinan tanpa dirancang tetapi tetap berlangsung dengan lancar. Dalam masa dua minggu saja mereka sah menjadi pasangan suami isteri. Perkahwinan segera. Walaupun di sebelah keluarga Rayyan seperti tidak dapat menerima pilihan anak kesayangan mereka. Apa sudah jadi? Rayyan sudah buta barangkali kerana memilih perempuan sederhana dan bertudung itu sebagai isterinya? Aleeya dengan Rayyan jauhnya berela-ela, berjuta batu.  Berapa harikah Rayyan dan Aleeya dapat mempertahankan mahligai indah ini. Takut sekadar indah dari rupa saja.
“Liya kena banyak bersabar. Bukan sedikit kesabaran yang perlu ada di dalam diri Liya, tetapi seribu kesabaran perlu ada di dalam diri Liya. Ingat tu!” pesanan abah benar-benar memakan diri sendiri. Rayyan bukanlah lelaki yang diimpikan. Rayyan benar-benar menguji dan mencabar keimanan dirinya. Sabar Liya. Di dalam dunia ini, ada empat jenis kumpulan suami dan isteri. Kumpulan pertama adalah seperti  Nabi Muhammad S.A.W dan isterinya Siti Khadijah, iaitu pasangan yang amat baik. Suami penyayang, isteri pula pengasih. Kumpulan kedua adalah seperti pasangan Abu Lahab dan isterinya Hindun, iaitu suami pun jahat, isteri pun jahat. Kumpulan ketiga seperti Nabi Noh dan isterinya, iaitu suami yang baik tetapi malangnya mendapat isteri yang berhati busuk dan jahat dan kumpulan terakhir adalah seperti Raja Firaun dan isterinya Siti Aisyah, iaitu suami jahat tetapi isteri berhati mulia. Ingat, Liya perlu jadi seperti Siti Khadijah, ataupun paling tidak jadilah seperti Siti Aisyah, isteri kepada Raja Firaun. Hish, Liya, mana boleh samakan Rayyan dengan Raja Firaun. Rayyan tidak sejahat itulah.
“Liya temankan abang ke kelab malam malam ni yer!” ajak Rayyan sambil memandang ke arah Aleeya yang sedang selesai solat isyak.  Aku kena pergi ke kelab malam? Cari apa di situ? Ajak lah pergi dengar ceramah agama ke, pergi solat kat masjid juga dapat juga pahala.
“Abang pergilah, Liya malas lah!” tolak Aleeya perlahan sambil bangun dari tempat duduknya. Dia menuju ke arah Rayyan, dihulurkan tangan kanannya dan menyambut tangan Rayyan lalu diciumnya. Selalunya selepas selesai solat memang itu yang dia lakukan terhadap Rayyan.
“Mana boleh, kawan-kawan abang nak berkenalan dengan isteri abang malam ini. Dah banyak kali Liya tolak permintaan abang,” ujar Rayyan. Betul lah tu, kaki kelab malam ini sudah banyak kali mengajak Aleeya ke sana, malah sehari mereka disatukan, Rayyan mengajak Aleeya ke kelab malam. Kalau lah abah di kampung tahu, mesti aku kena pancung.
“Jadi Liya kena pergi juga ke malam ini?” soal Aleeya serba salah. Pergi buat apa kat situ?  Tidak boleh ke berjumpa di tempat lain? Di kedai makan ke? Di restoran ke?
“Jomlah. Bukan orang lain pun yang ajak, suami Liya sendiri lah. Abang tanggung dosa Liya malam ini,” ajak Rayyan sekali lagi. Dia tanggung dosa aku? Nama pun suami, memang tanggungjawab dia sebagai seorang suami.
“Tahu pun dosa..,” bisik Aleeya perlahan tidak mahu Rayyan mendengar kata-katanya. Takut Rayyan mengamuk.
“Liya cakap apa tadi? Abang tak dengar!” balas Rayyan sambil menjeling ke arah Aleeya.
“Kejap, Liya bersiap!”

Liya, siapa nak bimbing siapa nih? Sepatutnya kau bimbing Rayyan, ini terbalik pula.

Bersambung..,

2 ulasan:

Unknown berkata...

aduhai rayyan.macam dah tak ada tmpat lain saja dia nak ajak.
jangan dia buat mcm2 sudah..
pptnya liya tak ptt ikut rayyan pergi tmpat2 mcm tu..dah tahu salah,kan..hehe..

Unknown berkata...

hehehe.. Liya ikutlah..